Tutorial Kategori Tips Melindungi Komputer Dari Ancaman Virus

Tips Melindungi Komputer Dari Ancaman Virus

Oleh webmaster
Dikirim pada Thursday 09 February 2012



Virus dan malware adalah salah satu ancaman kepada sistem komputer. Satu-satunya cara untuk menghindari ancaman ini adalah dengan mengamalkan proses pencegahan. Virus komputer mampu merebak ke seluruh dunia secara literal dan setiap orang yang menghubungkan komputer mereka ke dunia Internet boleh mendapat risiko jangkitan malware.

Mungkin ada yang berpendapat komputer hanya boleh dijangkiti dengan malware jika anda menggunakan atau memuat turun perisian cetak rompak atau menonton video lucah di Internet. Walaupun pendapat ini benar (untuk 5 tahun lalu), hari ini, anda boleh dijangkiti dengan virus hanya dengan melawat laman web yang anda cari di enjin carian Google. Jangkitan ini dipanggil sebagai drive-by malware.

Berikut adalah 5 tips berguna untuk anda elakkan diri daripada ancaman virus:

Pasang perisian Antivirus
Tidak ada satu pun perisian antivirus di pasaran yang akan menjamin bahawa anda akan selamat 100% dari ancaman virus. Syarikat-syarikat perisian antivirus akan cuba sedaya upaya untuk menjaga keselamatan sistem komputer anda. Elakkan memuat turun perisian antivirus yang murah dan jangan memasang terlalu banyak perisian antivirus dalam satu-satu masa kerana ia akan mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

Terdapat banyak Antivirus percuma dan berbayar dan perisian Anti-malware yang boleh didapati di pasaran. Antara yang percuma yang boleh anda muat turun adalah seperti Avast, AVG Free, dan NOD32 manakala perisian Anti-virus Premium pula adalah seperti BitDefender, Kaspersky Antivirus, dan AVG Pro. Microsoft juga ada mengeluarkan perisian antivirus mereka sendiri yang diberi nama Microsoft Security Essentials

Pasang perisian kemaskini
Peluang sistem komputer untuk dijangkiti virus dan malware adalah lebih tinggi bagi sistem yang jarang dikemskini berbanding sistem komputer yang kerap dikemaskini dengan patch-patch baru.

Salah satu sebab mengapa kemaskini dikeluarkan adalah kerana versi perisian yang anda gunakan mempunyai beberapa ralat (bugs) atau mereka mahu menambah lebih banyak ciri-ciri baru pada perisian mereka. Apa yang penting, setiap perisian yang dipasang di komputer anda, perlulah dikemaskini dengan kemaskini-kemaskini terbaru.

Untuk mengetahui senarai perisian anda yang tidak dikemaskini, anda boleh gunakan perisian Secunia Online Software Inspector (OSI). Perisian ini akan melaporkan kepada perisian-perisian yang perlu dikemaskini.

Gunakan pelayar alternatif
Semasa anda membaca artikel ini, anda mungkin sedang menggunakan perisian pelayar Firefox atau Google Chrome. Sekiranya anda masih lagi menggunakan Internet Explorer sebagai pelayar pilihan utama, saya sarankan supaya anda beralih kepada perisian pelayar alternatif yang lebih baik.

Terdapat beberapa tambahan yang boleh digunakan bersama-sama pelayar web seperti sambungan WOT (Web-Of-Trust). Sambungan ini akan membantu anda memantau laman-laman web yang selamat untuk dilayari.

Gunakan perisian Anti-Malware
Walaupun terdapat beberapa perisian anti-malware seperti Malwarebytes berfungsi seakan-akan perisian Antivirus, ia masih lagi berbeza daripada perisian Antivirus. Perisian antivirus dan anti-malware boleh dipasang serentak di dalam komputer yang sama selagi mana perisian anti-malware tidak sentiasa berjalan di belakang tabir, ia tidak akan menyebabkan konflik dengan perisian Antivirus sedia ada.

Perisian anti-malware adalah jauh lebih agresif dalam mengesan spywares, manakala perisian antivirus pula adalah lebih bijak dalam mengesan jangkitan virus lama dan baru. Sila muat turun perisian Malwarebytes untuk mengesan dan mengimbas malware.

Gunakan kebijaksanaan budi bicara
Berikut adalah kandungan e-mel yang saya terima hari ini.

"You are the Second Prize Winner of 1200000.00, EURO MILLIONS LOTTERY 2012".

Ini adalah salah satu contoh penipuan melalui emel. Biasanya kandungan emel seperti ini akan meminta anda untuk memuat turun fail tertentu yang telah dijangkiti dengan virus.

Untuk mengurangkan risiko jangkitan malware melalui e-mel, jangan klik atau memasang sisipan yang disertakan melalui e-mel dan sila baca setiap tanda dan arahan e-mel yang diterima dan jangan klik sewenang-wenangnya.

Walaupun 5 tips di atas boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan malware, anda sebenarnya masih boleh dijangkiti dengan malware selagi anda menggunakan sistem operasi Windows. Peluang untuk dijangkiti pada sistem Mac dan Linux adalah sangat rendah.








email to someone printer friendly Senarai tutorial dalam kategori ini
Kembali ke laman utama tutorial
Penilaian
Belum ada penilaian dibuat setakat ini

Sila Log-in untuk menghantar komen. Daftar jika belum menjadi ahli.

Render time: 0.2195 second(s). DB queries: 94.